Tuesday, August 25, 2009

Kenali tokoh ulama Kelantan (vol1)


Tokoh ulamak Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulamak besar Semenanjung Melayu sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Halaim (Muar), Haji Mat Syafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi sebutan dan bualan ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1350H-1327H). sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini kedalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu kepada usuluddin, fiqh da tasawauf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tuk Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa - bukan saja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah: Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj, Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj, Abdullah Tahir Bunut Payung. Hj. Yusof Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato' Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato' Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato Hj. Hassan Yunus al-Zahari (Menteri Besar Johor), Dato Hj. Abdul Rahim Yunus, (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).

Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri - Tuan Guru Hj. Ahmad dan syeikh Mohd. Sale Kenali (menetap di Makkah) - juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai "Serambi Mekah" itu sangat berkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.

Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP